Friday, June 20, 2008

Rugi

"Peggh! Pensyarah mana baru balik bawak Mercs tu?" Wafi.

"Ntah", aku, dalam terkial-kial mengenakan kasut di depan pintu masjid.

"Cantik beb. Dua pintu, metallic silver.". Bersungguh-sungguh Wafi menerangkan perihal kereta tu. "Aku rasa kalau beli kat Malaysia, mungkin harganya dalam RM 200 ribu lebih tu".

"Rugi beb", balasku.

"Rugi?". Wafi.

"Beli RM200 ribu dapat 2 pintu je? Aku beli Kelisa ada 5 pintu, baru kena RM 20 ribu".

Wednesday, March 05, 2008

Jangan laju

Hari ini aku diminta berkongsi ilmu blog kepada rakan-rakan. Sejak malam tadi aku tidak dapat tidur nyenyak. Sampai pukul 3 pagi aku sibuk menyiapkan slide. Selepas solat Subuh, ada 'raptai' pula. Gementar juga nak mengajar orang dewasa.

Bila kursus bermula, seperti Schumacher, aku mula menekan minyak. Sampai di selekoh pertama, Kak Jun angkat tangan. "Mi, tolong perlahan sikit. Tak boleh ikut". Nampaknya aku kena tukar kereta. Kena bawa Kelisa saja, tak boleh bawa Ferarri. Kalau tak nanti aku yang syok sendiri.

Tuesday, February 26, 2008

Kopi Jantan

Selepas satu program khidmat masyarakat di sebuah sekolah menengah baru-baru ini, setiap fasilitator diberikan oleh pihak sekolah berkenaan, sebuah beg berisi beberapa cenderamata. Antaranya sebuah jam meja, beberapa bungkus makanan ringan tradisional dan sebungkus kopi cap televisyen.

"Terimakasih kepada semua yang terlibat", tulis Yana, ketua program berkenaan, dalam e-mel.

"Siapa dah rasa kopi tu?", balasan e-mel dari Neni. "I cadang lain kali kita buat program di mana-mana sekolah berhampiran stesen keretapi Kluang. Nanti dapat hadiah kopi cap Kluang Station", selorohnya.

"Kita buat program di sekolah berhampiran kilang kopi Jantan. Nanti semua nak pergi. Yang dah pencen pun nak ikut sama", balasku.

Wednesday, February 20, 2008

Bilik

"Kau dah pindah bilik?", tanya Jali.

"Dah. Tingkat 2", sambil jari telunjukku menuding ke arah bangunan di sebelah masjid.

"Kenapa tak masuk bilik aku? Tingkat bawah. Senang", Jali.

Diam sejenak.

"Lebih tinggi lebih baik. Dekat dengan arasy. Dekat dengan Allah", jawabku. Ia sebuah jawapan yang mantap berbaur fikrah keIslaman. Jali akan mengakui ketepatan jawapanku. Dia pasti kalah kali ini.

"Tingkat bawah lagi bagus. Dekat dengan lubang kubur. Selalu ingat mati", balas Jali.

Monday, February 18, 2008

Jadi Calon

YB Dato' tidak kisah jika tidak diletakkan sebagai seorang calon dalam Pilihanraya Umum nanti. Beliau serahkan semuanya kepada pucuk pimpinan parti. "Kedudukan saya akan ditentukan oleh Presiden parti. Saya tiada hak untuk menentukan samada saya bertanding atau tidak. Perjuangan saya ikhlas". Telah banyak kali YB Dato' ditemuramah oleh pihak media sejak khabar angin mengenai pembubaran parlimen beberapa minggu lepas. YB Dato' istiqamah dalam memberikan jawapan. Samada orang TV atau orang suratkhabar bintang, matahari atau bulan, jawapan YB Dato' tetap sama. "Saya mahu rakyat faham maksud penglibatan saya dalam politik", tambah YB Dato'. "Perjuangan saya adalah untuk rakyat".

---------------------------

"Zali, kau dah confirm dengan Haji Rahim? Apa lagi nak kena bawak?". Bentakan YB Dato' kedengaran jelas di ganggang telefon Zali. Berdesing telinga Zali. "Marah betul orang tua ni", fikir Zali sendirian sambil tersenyum. Dia tidak ambil hati. Sudah 2 kali pilihanraya Zali menjadi pembantu YB Dato'. Dia sudah masak benar fe'el orang tua itu. "Sabar Tok. 20 ribu yang Dato' bagi tu saya dah masukkan dalam akaun Haji. Dia kata terimakasih. Malam ni kita jumpa dia di tempat biasa.", jawab Zali.

Zali memandang kotak-kotak bersaiz sederhana di hadapannya. Semuanya akan diserahkan pada Haji Rahim malam nanti. Setiap satu bertulis beberapa perkataan seperti 3G dan 5 Megapixel. "Ok, semua ada 10. Cukup", bisik Zali. Dia teringat pertemuannya dengan Haji Rahim minggu lepas. "Telefon tu bukan aku nak sangat Li. Anak-anak buah aku yang teringin nak pakai", terang Haji Rahim pada Zali. Zali hanya tersengih saja. "Bukan beli pakai duit aku pun", bisik Zali kepada dirinya lagi.

----------------------------

YB Dato' sendirian di ruang tamu di banglonya. YB Dato' termenung sambil berbaring. "Bomoh sekarang tak macam dulu-dulu. Demand betul", YB Dato' mendengus. YB Dato' memandang ke dinding dan melihat potret isteri barunya. Melati sudah keluar sejak petang tadi. Ada shooting filem terbaru katanya. Fikiran YB Dato' melayang pada Mercedes Kompressor, Nissan Murano, tanah 10 ekar di Janda Baik, kondo di Kota Damansara dan bot mewahnya di Porto Malai. "Aku mesti jadi calon. Aku mesti menang pilihanraya. Kalau tak parah aku". YB Dato' percaya tangkal Haji Rahim boleh lembutkan hati Ketua Perhubungan Negeri serta Presiden parti. Dia sudah minta bomoh tersohor itu untuk sediakan tangkal yang 'power'. YB Dato' tahu, kalau tak jadi wakil rakyat lagi, mana dia nak cekau duit nak maintain Melati dan bayar hutang koleksi harta bendanya.

Friday, February 15, 2008

Taktik lama

Aksi refleks yang biasa dilakukan oleh pelajar bila pensyarah/cikgu bertanya soalan:

1. Menundukkan kepala sambil melihat kepada nota atau buku.
2. Menulis sesuatu atau menggaris perkataan atau ayat.
3. Berbincang sesuatu dengan rakan sebelah tetapi mengelak daripada bertentang mata dengan
pensyarah/cikgu.
4. Menundukkan kepala sambil memegang dahi.

"Kamu nampak sangat intelligent, pemalu dan warak setiap kali saya bertanya", kataku kepada sekumpulan pelajar yang baru sahaja diajukan soalan. Beberapa orang yang memahami sindiranku memandang aku dan tersenyum tetapi cepat-cepat tunduk semula.

"Saya suka pilih orang yang tunduk kepala untuk jawab". Semua pelajar tertawa dan mengangkat kepala.

Di tempat duduk mereka aku nampak diriku semasa masih belajar dahulu.

Thursday, February 14, 2008

Kiliran Budi

Baru-baru ini semasa pulang ke kampung, aku terjumpa sebuah kitab lama. Kiliran Budi ditulis dalam bahasa Melayu lama dan dalam tulisan jawi. Di dalamnya penuh dengan peribahasa-peribahasa Melayu. Banyak yang tak pernah aku dengar seperti:

'Kemenyan sebesar lutut jika tidak dibakar manakan berbau'

'Kalau menyeberang sungai biarlah ditelan buaya tetapi janganlah dipagut oleh ikan kecil-kecil'

'Betul-betul ekor anjing kalau bagaimanapun ada juga bengkoknya'

'Air sama air kelak menjadi satu sampah ke tepi jua'

Agaknya Karam Singh Walia pun ada kitab ni ke?